KEMPEN Belilah Barang Buatan Malaysia dilancarkan pada 4 April 1984
oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan
pelbagai tujuan termasuklah menjana ekonomi industri tempatan tidak kira
industri berat, sederhana mahupun industri kecil.
Ketika krisis ekonomi melanda negara 1998, dalam program Bersama
Perdana Menteri 14 Julai 1998, antara lain ketika beliau ditanya oleh
Presiden FOMCA, Prof. Dr. Hamdan Adnan mengenai langkah yang dimainkan
oleh kerajaan mendepani krisis tersebut, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pada tahun 1998 juga dilancarkan
satu kempen yang bernama Kempen Ekspo Cintailah Malaysia di mana
sebanyak 400 gerai barangan tempatan dipamerkan untuk tontonan orang
ramai dengan harapan dapat memperkenal dan menarik minat orang ramai
terhadap barangan tempatan.
Kempen Belilah Barang Buatan Malaysia sebenarnya tidak mati begitu
sahaja kerana pelbagai program dan aktiviti dilakukan untuk memberi
kesinambungan terhadap kempen tersebut, cuma orang ramai yang
seolah-olah lupa akan kempen tersebut kerana kempen itu
digembar-gemburkan ketika adanya sambutan hari-hari tertentu seperti
Hari Peladang dan juga ketika negara menghadapi krisis ekonomi seperti
sekarang.
Tegasnya, ketika ekonomi pulih dan stabil, ramai antara kita yang
tidak memandang atau memperlekeh barangan tempatan hinggalah mengalih
perhatian terhadap barangan import. Oleh itu, dengan mudah pula kita
membantu mengukuhkan ekonomi negara lain dengan cara membeli barangan
buatan mereka tanpa memikirkan kesan di sebaliknya.
Sewajarnya kempen Belilah Barang Buatan Malaysia diaktifkan semula
supaya masyarakat kita menghargai barang-barang yang kita hasilkan
apatah lagi ada antara barang-barang tersebut yang berkualiti dan mampu
menembusi pasaran antarabangsa. Maka, apabila Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu melancarkan semula
kempen ini seluruh negara 16 Januari ini.
Rasa-rasanya tindakan ini tepat pada masanya demi mengawal pengaliran
keluar wang kita ke negara luar, kecuali barang-barang yang memang
tidak cukup bagi keperluan domestik.
Sejak dulu lagi, kempen ini secara simboliknya mahu mendidik
pengusaha di negara kita memberanikan diri, mengubah persepsi dan
meningkatkan keupayaan meneroka bidang yang selama ini dikuasai oleh
orang luar, terutamanya barang-barang berasaskan perkilangan.
Kempen ini juga sebenarnya memberi dorongan kepada pengusaha tempatan
meningkatkan kualiti barang yang dihasilkan supaya setanding atau
menyaingi barangan dari luar, diyakini oleh masyarakat tempatan agar
terus menyokong industri tempatan.
Tidak dinafikan juga bahawa sokongan masyarakat negara kita terhadap
barangan tempatan sangat penting untuk menentukan jatuh bangun industri
dan juga barangan tempatan.
Contohnya, jika sesuatu barang yang kita keluarkan mendapat sambutan
menggalakkan, bermakna kita menghidupkan industri tempatan manakala di
pihak industri pula, mereka tentulah melipatgandakan usaha untuk
mengekalkan industri mereka, melebarkan perniagaan dan menambah baik
mutu barangan yang dikeluarkan dengan harapan dapat memuaskan hati
pengguna.
Menyokong industri tempatan bermakna kita dapat menyumbang ke arah
kemantapan ekonomi negara dalam pelbagai aspek termasuklah peluang
pekerjaan yang dapat dinikmati oleh penduduk tempatan.
Kadar pengangguran yang dapat kita kurangkan akan mengecilkan juga
risiko jenayah dan segala macam budaya yang menghimpit remaja masa kini.
Namun, tidak semestinya kempen ini menolak seratus-peratus barangan
dari luar. Masalah cita rasa, kuasa beli dan keinginan memenuhi
keperluan yang memang tidak ada di negara kita memerlukan kita
bergantung juga kepada barangan dari luar.
Apa-apa pun, kempen ini akan dapat membendung tabiat menggila
penduduk negara kita terhadap barangan dari luar. Adalah malang bagi
kita jika kita mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan barangan
tersebut ada di negara kita. Diharapkan kempen ini dapat dijalankan
secara berterusan kerana sudah menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah
lupa dan perlu pula digerakkan melalui kempen.
M. JASNI MAJED
Bukit Kapar, Selangor
Sumber : Utusan Online
No comments:
Post a Comment